Penyelesaian Ta‘āruḍ al-Adillah Melalui Takhṣīṣ al-Nuṭq Dengan Qiyās dan Aplikasi Hukumnya dalam Mencegah Pendemik COVID-19
Keywords:
Ta‘āruḍ al-adillah, Takhṣīṣ al-nuṭq, Qiyās, Istinbat hukum, Pendemik COVID-19Abstract
Kajian ini membincangkan tentang penyelesaian terhadap pertentangan antara dalil-dalil hukum melalui kaedah takhṣīṣ al-nuṭq dengan qiyās dan aplikasi hukumnya dalam mencegah pendemik COVID-19. Kaedah takhṣīṣ al-nuṭq dengan qiyās merupakan antara pendekatan yang digunakan oleh ulama Usul Fiqh untuk mengharmonikan antara dalil-dalil yang saling bertentangan. Pengaplikasian hukum melalui kaedah ini pula berkait dengan beberapa isu secara terpilih semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Antara isu-isu yang difokuskan ialah penangguhan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid ketika tempoh PKP serta penjarakan jemaah dalam saf solat. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan metode analisis kandungan. Aplikasi kaedah takhṣīṣ al-nuṭq dengan qiyās menjadikan sumber dalil-dalil hukum sebagai rujukan namun diolah menurut disiplin ilmu Usul Fiqh. Hasil utama kajian mendapati ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan supaya menangguhkan sebarang aktiviti keagamaan di masjid dan surau semasa musim penularan pendemik adalah bertepatan dengan kaedah penyelesaian ta‘āruḍ al-adillah melalui pendekatan takhṣīṣ al-nuṭq dengan qiyās. Ia bertujuan untuk mencegah penularan jangkitan virus korona. Oleh itu, kaedah ini amat membantu dalam menyelesaikan isu pertentangan dalil dan ia wajar ditonjolkan meskipun jarang diaplikasikan dalam proses istinbat hukum.