Kepentingan Pengajaran dan Pemudahcaraan Berbantukan Permainan Digital bagi Mata Pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Rendah
Keywords:
Teknologi, Pengajaran dan Pembelajaran, Aplikasi Permainan, Pendidikan IslamAbstract
Sistem pendidikan di Malaysia turut menerima kesan daripada gelombang kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Selari dengan itu, metode pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) semua mata pelajaran juga berkembang seiring dengan perubahan teknologi tersebut. Bermula dengan corak PdPc secara konvensional, ia berkembang kepada PdPc secara e-pembelajaran seterusnya memasuki fasa m-pembelajaran. Kemunculan permainan yang boleh diakses melalui telefon pintar dan juga perisian permainan melalui komputer pula menjadi nilai tambah kepada perkembangan teknologi dalam bidang pendidikan. Kajian ini dibuat bagi mengenal pasti metode pengajaran dan pembelajaran yang terkini sesuai dengan perubahan teknologi serta kepentingannya dalam kemajuan dan kecenderungan murid-murid dalam mempelajari mata pelajaran Pendidikan Islam. Seterusnya, ia juga membincangkan bagaimana aplikasi permainan dapat membantu dalam meningkatkan kualiti PdPc dalam mata pelajaran tersebut. Metodologi yang digunakan adalah kajian kualitatif di mana sorotan terperinci mengenai perkaitan antara metode tradisional dan metode terkini berbantukan teknologi permainan digital dalam PdPc dilakukan. Hasil kajian mendapati teknologi terkini yang diaplikasikan ke dalam PdPc termasuklah permainan digital adalah membantu dalam meningkatkan pencapaian pembelajaran Pendidikan Islam murid-murid sekolah rendah. Oleh itu, adalah penting bagi permainan tersebut untuk turut digunakan di dalam PdPc Pendidikan Islam.