Peranan Program Pembudayaan Al-Quran Bagi Pekerja Am Kontrak di UiTM Cawangan Kelantan
Keywords:
Program, Pembudayaan Al-Quran, UiTM Cawangan Kelantan, Pekerja, KontrakAbstract
Warga universiti terdiri daripada pelajar, staf akademik, staf pentadbiran serta pekerja am kontrak. Kebanyakan aktiviti universiti terfokus kepada kumpulan pelajar, staf akademik dan pentadbiran sahaja. Pendidikan kepada kumpulan pekerja am kontrak biasanya terpinggir. Bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni, pendidikan nilai yang berasaskan al-Quran perlu diberikan kepada semua pihak bagi memantapkan pembinaan keimanan dan keperibadian diri. Sehubungan itu UiTM Cawangan Kelantan telah mewujudkan program pembudayaan al-Quran yang melibatkan semua warga universiti termasuk kumpulan pekerja am kontrak. Kajian ini bertujuan untuk meneliti peranan Program Pembudayaan Al-Quran terhadap kumpulan pekerja am kontrak dalam menanam minat mereka terhadap pengajian al-Quran dan implikasi daripada kelas yang dilaksanakan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menemu bual pihak-pihak yang terlibat dan juga pekerja am kontrak di samping menggunakan metode dokumentasi. Hasil kajian mendapati peranan yang dimainkan oleh Universiti menerusi Program Pembudayaan Al-Quran khususnya dengan mengadakan kelas pengajian al-Quran secara percuma telah membuka ruang yang luas untuk mereka menambahkan pengetahuan tentang Al-Quran, kemahiran membaca Al-Quran dan motivasi untuk beramal dengan ajaran Al-Quran. Ini membawa implikasi positif dalam memupuk minat golongan pekerja am kontrak untuk terus membudayakan pengajian al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.