Kualiti Dan Amalan Sinergogi: Suatu Pengenalan
Abstract
Semua pendekatan pendidikan bertujuan menghasilkan perubahan sama ada perubahan sikap, tingkah laku, kualiti atau tahap profesional. Pengurusan perubahan merupakan satu peranan dan tanggungjawab kepada semua pihak yang terlibat dengan sesebuah sistem pendidikan meliputi pendidikan asas, menengah dan tinggi. Justeru itu, pendekatan sinergogi berkait dengan usaha dan tindakan yang berstruktur dan interaktif supaya keupayaan pembelajaran dapat dipertingkatkan. Sinergogi mendokong falsafah pendidikan sepanjang hayat sebagaimana diperjuangkan pendidikan Islam. Peranan dan tanggungjawab pendidik sebagai 'synergizer' menuntut suatu kepakaran dalam merekacipta prasarana-prasarana sinergogi atau membina mekanisme pembangunan profesionalisme seterusnya mampu melestarikan kekhalifahan yang sedia ada dan yang berterusan di semua lanskap pendidikan. Bukan setakat itu sahaja, pendidik akan terus memantau kualiti pencapaian anak didik mereka mengikut standard yang telah diperakukan oleh MQA, ISO dan lain-lain.