Korelasi Antara Strategi Pembelajaran Bahasa Dengan Pencapaian Bahasa Arab Dalam Kalangan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Kelantan
Abstract
Pelbagai kajian yang dijalankan mendapati bahawa tahap penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar Malaysia masih berada pada tahap yang kurang memuaskan berbanding pembelajaran bahasa asing/kedua yang lain di Malaysia. Kelemahan dalam menggunakan strategi pembelajaran bahasa (SPB) serta kekurangan pengetahuan mengenainya merupakan salah satu faktor penghalang kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Pelajar cemerlang bahasa didapati menggunakan SPB tertentu dalam pembelajaran mereka. Namun, sebahagian daripada strategi tersebut tidak dapat diperhatikan dan mereka juga kurang berkongsi maklumat berkaitan dengan strategi pembelajaran yang mereka gunakan. Justeru, kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk menyelidik tentang korelasi SPB dengan pencapaian bahasa Arab dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi di Kelantan. la melibatkan 200 orang responden daripada dua buah IPT di Kelanta iaitu Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri (APIUM). Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti tahap penggunaan SPB dalam kalangan pelajar IPT Kelantan. Kajian tinjauan yang bersifat kuantitatif ini menggunakan soal selidik SPBA dan ujian pencapaian bahasa Arab sebagai alat kajian utama untuk mengumpul data. Dapatan kajian menunjukkan Strategi Metafizik merupakan strategi yang paling kerap digunakan manakala Strategi Memori pula strategi yang paling sedikit penggunaannya dalam kalangan pelajar IPT kelantan. Penggunaan strategi berada pada tahap yang sederhana. Hasil kajian juga mendapati bahawa tidak terdapat korelasi signifikan antara penggunaan SPB dengan pencapaian bahasa Arab pelajar.